Rasuah pembinaan UMK jeli

SPRM buka 18 kertas siasatan Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 18 kertas siasatan berhubung tindakan susulan terhadap Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 yang dibentangkan di Parlimen pada 1 Oktober dan 2 Disember tahun lalu. Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, siasatan bagi semua kes berkenaan sudah selesai dan dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya di Jabatan Peguam Negara termasuk mengambil keterangan saksi. Katanya, antara kes disiasat termasuk tuntutan palsu di Kementerian Kerja Raya di mana pengarah mengesahkan Sijil Perakuan Siap Kerja bagi pembinaan Asrama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Jeli bernilai RM23.6 juta dan Kampus UMK di Bachok bernilai RM100.4 juta sedangkan kerja tidak mengikut spesifikasi dan tidak disiapkan sepenuhnya kontraktor. “Selain itu, kes Kementerian Wilayah Persekutuan dan Jabatan Landskap dan Rekreasi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula membabitkan aktiviti rasuah serta penyelewengan berhubung perolehan pokok instan untuk menambah baik Taman Dusun Bandar dengan membuat pembelian pokok instan yang berharga lebih tinggi daripada pasaran. “Kes seterusnya membabitkan pegawai Akademi Kemahiran Belia Golf Negara, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memperakukan tuntutan bayaran elaun RM100 sebulan bagi tempoh enam bulan dan bayaran elaun latihan industri RM300 sebulan bagi tempoh tiga bulan kepada 60 pelatih sedangkan dikatakan ada pelatih tidak menerima kedua-dua elaun itu,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini semalam. Ali berkata, kes keempat membabitkan dua syarikat yang membuat tuntutan mengandungi butiran palsu berhubung Karnival Mesra Belia Parlimen Alor Setar, Jelebu dan Muar yang diadakan pada 2012 bernilai RM34,600 dan RM186,300 bagi perkhidmatan khemah dan platform serta perkhidmatan artis dan juruacara sedangkan sebenarnya tuntutan itu sudah dibayar Majlis Belia Malaysia. “Kes kelima membabitkan pegawai Majlis Belia Malaysia (MBM) mengemukakan tuntutan palsu kepada Jabatan Belia dan Sukan, KBS berkaitan Program Pemberian Bantuan pada 2011 kepada MBM membabitkan wang sejumlah RM1.53 juta sedangkan program itu tidak dijalankan. “Sementara itu, kes keenam pula membabitkan tuntutan palsu Telekom Malaysia (TM) kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berhubung Projek Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 iaitu dua tuntutan dibuat bagi tempoh 2007 hingga 2012 membabitkan bayaran sebanyak RM3.34 juta sebagai kos seminar dan lawatan ke luar negara dan tuntutan RM1.03 juta sebagai bayaran pembekalan perkakas dan perisian. “Bagi tempoh 2007 hingga 2010, tuntutan bayaran perkhidmatan promosi dan publisiti sebanyak RM3.19 juta sedangkan projek sudah dibatalkan,” katanya. Beliau berkata, siasatan juga dibuat ke atas kes penyalahgunaan kuasa pegawai dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membabitkan projek penambahbaikan Loji Thermal Oxidation bernilai RM34 juta di mana pada masa itu, ada satu kes timbang tara antara syarikat Chain Cycle Sdn Bhd dengan KPKT dan perkara itu adalah dalam pengetahuan kementerian itu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment